Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan
muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita
mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana
syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna
yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke
kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan
berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti
besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita. Kerana
wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak
umum.
Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan
garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya
semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan
dunia. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah
ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai
tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung.
Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan
hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar
sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.
Tidak lengkap dan sempurna. Malah menambahkan FITNAH !!
Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya
masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher,
dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang
sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.
Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk
wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok
di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik.
Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya
lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.
Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah,
sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah
bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya
sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan
bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan
menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus
pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang
tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih
berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun
bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri.
Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah
yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan
sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan.
Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun
dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan
bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan.
Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung? Ada
orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang
bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada
orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang
bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan
muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang
bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang
Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat
melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan
bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih
baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan
Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang
tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai
mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak
perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya
peranan tudung untuk dakwah orang lain.
Tudung di Luar dan Dalam
Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita
sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain
tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak
terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah
punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain.
Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau
akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib
ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa
ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka
mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab
setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah
antara mereka dengan Allah.
Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun
bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah
satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah
satu dosa lain.
Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar.
Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan
pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir
dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah
sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan
qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan
amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu
bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat
kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka
mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai
seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.
Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya
akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat
untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat
dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam
itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam
sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang
agama melalui pakaian.
Sumber: Darul Nu'man
Cik 'Ainnul dengan koleksi tudung yang ada. Mama Cik 'Ainnul nak cari lagi. Biar Cik 'Ainnul biasa dan selesa bila menutup kepala dgn tudung. Bukan lagi dengan headband atau topi. Mama & Baba sayang Cik 'Ainnul ketat2. Semoga Cik 'Ainnul menjadi contoh muslimah sejati kepada yang lain. Amiin
Tuesday, 14 May 2013
Subscribe to:
Posts (Atom)


