Bayi anda mungkin amat suka berkecimpung dalam air, namun begitu ada
peraturan-peraturan yang harus dipatuhi untuk membuat waktu mandi
selamat selain menyeronokkan. Yang utama dan paling penting ialah supaya
jangan meninggalkan bayi anda berseorangan dalam besen atau tab mandi.
Baca seterusnya untuk mendapatkan tip-tip tentang bagaimana memastikan
bayi anda bersih dan tidak terancam.
Apakah suhu yang sesuai untuk air mandi bayi saya?
Pastikan air mandi itu suam selesa tetapi tidak panas sebelum
memasukkan bayi anda ke dalamnya. Air yang dipanaskan sehingga 37 darjah
C adalah paling sesuai.
Anda boleh membeli termometer untuk
menentukan suhu air mandi itu. Setengah termometer direka bentuk sebagai
mainan mandi bayi yang selamat dan menyeronokkan. Jika anda tiada
termometer, letakkan siku anda ke dalam air untuk menguji sama ada ia
terlalu panas atau terlalu sejuk.
Tuangkan air sejuk ke dalam
besen dahulu, kemudian air panas. Ini akan mengurangkan risiko
melecurkan bayi anda. Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda dalam
besen atau tab semasa air paip sedang mengalir. Suhu air boleh berubah
dengan pantas.
Jika anda menggunakan tab orang dewasa,
tutupkan semua kepala paip. Ajar bayi anda supaya tidak menyentuh kepala
paip dalam masa dia sedang membesar dan bertatih. Walaupun dia tak
pandai membukakan paip sekarang, namun, tak lama lagi dia akan mempunyai
cukup tenaga untuk membukanya, dan dia boleh melecurkan kulit sendiri.
Jika anda mempunyai kedua-dua kepala paip air panas dan sejuk, anda
boleh memasang injap kepada kepala paip panas yang mencampurkan air. Ini
akan mengawal suhu air supaya tidak terlalu panas apabila ianya keluar
dari kepala paip. Kanak-kanak boleh melecur kulit darjah dua dan tiga
dalam beberapa saat sahaja dia berendam dalam air yang terlalu panas.
Walaupun air mandinya mungkin suam, suhu badan bayi anda boleh menurun
dengan pantas apabila anda keluarkannya dari air mandi, jadi pastikan
bilik anda panas selesa. Apabila mengangkat bayi anda dari besen mandi,
balutkan dia dengan tuala dan tutup kepalanya sebelum memakaikan
lampinnya.
Lepas itu, balutkan bayi dalam tuala kering atau
selimut sekali lagi, dan peluk dia selama 10 minit untuk memanaskan
badannya. Apabila dia sudah memakai baju, balutkan dia dalam selimut
yang kering dan suam.
Berapa dalamkah sepatutnya air mandi itu?
Untuk bayi baru lahir dan bayi lebih kurang daripada enam bulan,
penuhkan besen dengan 13 sentimeter (5 in) air. Atau pastikan air cukup
untuk bayi berbaring dalam air dengan bahunya betul-betul terendam.
Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda ke dalam air besen yang lebih
tinggi dari pinggangnya (posisi duduk) untuk bayi lebih tua dan juga
kanak-kanak. Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda ke dalam besen atau
tab semasa air sedang mengalir turun. Kedalaman air boleh naik sehingga
menjadi terlalu dalam.
Bagaimanakah untuk memegang bayi dengan selamat di dalam air?
Anda mungkin mahu menggunakan alat penyangga untuk membebaskan tangan
anda supaya boleh mencuci bayi. Jika bayi anda belum boleh duduk, endul
mandi bayi akan membendungkan bayi di dalam air. Jika dia sudah boleh
duduk sendiri, anda boleh menggunakan kerusi mandi bayi.
Sentiasalah berada di samping bayi semasa dia sedang mandi, samada anda
menggunakan besen atau penyangga mandi. Bayi boleh tenggelam lemas dalam
air kurang dari 3 sentimeter dan dalam beberapa saat sahaja bayi boleh
tergelincir ke dalam air dan tak berupaya menyelamatkan diri.
Selang setahun di UK, terdapat lebih kurang seorang bayi mati lemas dan
yang lain mendapat kecederaan serius setelah ditinggal bersendiriran
untuk sekejap masa walaupun berada dalam penyangga mandi bayi.
Jika anda menggunakan tab mandi, letakkan pelapit getah di lantai tab.
Semasa bayi anda sedang membesar, latihkan supaya dia tetap duduk dalam
tab pada bila-bila masa. Ini menggalakkan dia untuk tidak berdiri,
tergelincir atau hilang imbangan.
Berapa kerapkah harus saya mandikan bayi saya?
Terpulang kepada anda berapa kerap anda memandikan bayi anda. Waktu
mandi boleh menjadi acara harian yang seronok dan relaks bagi anda dan
bayi anda. Tetapi, jika anda enggan memandikan bayi anda setiap hari,
sekali atau dua kali seminggu adalah sesuai semasa bulan pertama.
Asalkan anda menggelap dari atas ke bawah, dan menyapukan semua
kekotoran yang ternampak pada hari-hari dia tidak dimandikan, bayi anda
sudah cukup bersih.
Apabila bayi anda berusia dua bulan anda
mungkin mahu membuatkan mandi bayi sebagai sebahagian rutin tidur. Walau
bagaimanapun, anda tak perlu membasuh rambut bayi setiap hari.
Rambutnya mengeluarkan hanya sedikit minyak sahaja, jadi sekali seminggu
adalah memadai.
Gunakan sabun lembut dan tiada mengandungi
air wangi atau produk cecair mandi bayi neutral pH. Jika kulit bayi anda
terasa kering atau kemerahan, anda boleh mencampurkan sedikit emolien
mandi ke dalam air mandi. Menggunakan emolien boleh membuatkan kulit
bayi anda licin, jadi peganglah bayi anda dengan kukuh tetapi lembut
semasa dia di dalam air.
Adakah selamat untuk berkongsi tab mandi dengan bayi saya?
Adalah selamat untuk berkongsi tab mandi dengan bayi anda apabila dia
berusia dua bulan, selagi anda yakin boleh memegangnya dengan baik. Anda
akan memerlukan seorang berdekatan untuk membantu menghulurkan bayi
kepada anda dalam tab, dan mengambilnya daripada anda semasa anda keluar
dari tab.
Sebaliknya, suami anda boleh masuk bersama bayi
dalam tab, dengan anda membantu. Tiada yang boleh menandingi sentuhan
kulit-ke-kulit untuk mengukuhkan pengikatan antara bapa dan bayi.
Sesiapa yang akan bersama bayi dalam tab mestilah mandi atau mencuci
badannya dahulu. Kemudian sediakan bilik mandi dan tab mandi seperti
disebutkan di atas.
Bolehkah saya keluar dari bilik mandi untuk sebentar?
Tidak. Jangan sekali-kali meninggalkan bayi anda dalam besen atau tab
tanpa kawalan. (Ya, ini adalah penting, sebab itu kami mengulanginya
sekali lagi.)
Sediakan semua yang anda perlukan untuk
memandikan bayi anda sebelum bermula, iaitu tuala-tuala, sabun dan lain
perlengkapan mandi, lampin yang bersih dan baju tidur, di tempat yang
senang untuk dicapai. Jika ada orang yang mengetuk pintu atau jika
telefon berbunyi dan anda merasakan anda perlu menjawabnya, angkat bayi,
balutkan dia dengan tuala dan bawa bersama anda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment