Pada peringkat awal tumbesarannya, bayi akan menangis untuk memberitahu
yang dia sedang bermasalah. Antara masalah yang biasa dialami bayi
ialah:
1) Lapar
- Tidak dinafikan bahawa sering kali
tangisan bayi dikaitkan dengan rasa lapar. Jadi, sebagai bapa, anda
mestilah peka tentang hal ini. Pastikan anak mendapat makanan yang
secukupnya. Bagi bayi yang belum berusia
6 bulan, makanan yang dimaksudkan tentulah susunya. Para bapa kenalah
ambil tahu jadual minum susu anak agar anda tahu bilakah waktunya dia
kena menyusu.
2) Basah
- Rasa tidak selesa akibat basah pun
boleh menyebabkan bayi menangis. Oleh yang demikian, rajin-rajinlah
periksa lampin bayi anda dan tukar lampin tersebut dengan kerap bagi
mengelakkan punggungnya basah. Menjaga kebersihan bahagian lampin bayi
sangat penting agar dapat mengelakkan masalah ruam yang akan membuatkan
bayi rasa gatal dan tidak selesa.
3) Tidak Selesa Dengan Persekitaran
- Keadaan persekitaran juga sering mengganggu bayi. Suasana sekeliling
yang terlalu bising dan sempit boleh menyebabkan bayi menangis. Bukan
itu sahaja, suhu yang terlalu panas atau terlalu sejuk pun boleh
mengganggu keselesaan bayi.
4) Jatuh
- Ada ibu bapa yang
gemar menidurkan bayi mereka di dalam buaian. Amalan seperti ini
terutamanya pada waktu malam tidak praktikal kerana macam-macam boleh
berlaku di dalam buaian ketika anda sedang tidur. Salah satu perkara
yang boleh berlaku ialah terjatuh. Bayi yang tidur lasak mudah terjatuh
dari buaian lebih-lebih lagi jika dia dibiarkan tidur sendirian.
5) Kembung
- Bayi juga terdedah kepada masalah kembung perut. Masalah yang turut
dikenali sebagai kolik ini akan menyebabkan bayi menangis dalam satu
jangka masa yang panjang. terutamanya pada waktu petang. Biasanya untuk
meredakan sakit perut yang dialami bayi, urut bahagian perutnya dengan
lembut menggunakan minyak yang sesuai. Urut juga bahagian belakang
tubuhnya. Selain daripada meredakan kesakitan yang dialami, urutan boleh
menenangkan bayi.
Kepada bapa-bapa sekalian, tangisan bayi
adalah lumrah dalam kehidupan berkeluarga. Bayi memang selalu menangis.
Oleh itu, anda perlulah bersedia untuk menghadapinya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment