Sunday, 10 February 2013

WaNiTa.. Kau TeRiStiMeWa!!

Kenapa Allah menciptakan wanita begitu istimewa? Wanita diberikan sepasang bahu yang begitu kukuh menahan beban dunia dan isinya, dan dijadikan juga bahu itu begitu nyaman dan menenangkan, ketika dia harus menopang kepala bayi yang sedang terlena.

Allah menciptakan wanita dengan kekuatan untuk bertahan, ketika yang lain menyerah dan putus asa pada keadaan. Kenapa ? Kerana mereka yakin akan sebuah harapan.

Diciptakan mereka begitu sabar menghadapi kesakitan tatkala zuriat perkongsiannya dengan suami ingin dilahirkan. Tidak ditakdirkan si suami yang harus menanggung perit seksa melahirkan kerana mereka tidak mampu bahkan tidak akan mampu untuk menghadapi saat getir itu.

Allah memberikan mereka kesabaran untuk selalu memberikan perhatian dan kasih sayang pada keluargannya. Walaupun dirinya letih, mereka tetap berjuang tanpa kenal apa itu erti penat dan lelah. Dan adakalanya, mereka terpaksa menahan kesakitan yang ditanggung badan akibat kelesuan namun mereka tidak pernah berkeluh kesah.

Cinta yang diberikan kepada putera & puterinya tidak terbatas. Dia hanya tulus memberi dan tidak pernah mengharap kembali. Walau kadangkala dia disakiti dan tidak dipeduli.. Namun, setiap saat dan keadaannya, ruang waktu bersama mereka begitu beerti. Dia tidak pernah sakit hati walaupun hatinya sering kali dilukai.

Wanita dijadikan sebagai pemangkin semangat dan kekuatan untuk membimbing suami. Ketika suami ceria dialah suaranya. Ketika suami sedih dialah air matanya. Di samping kegembiraan itu, akan dipagarinya dengan nasihat agar suami tidak hilang pertimbangan. Di sebalik kedukaan itu pula, akan ditiupkannya dengan alunan semboyan ketabahan agar suami tidak terbalik lantas tumbang. Sesuailah dengan asal kejadiannya yang dicipta dari tulang rusuk lelaki. Sentiasa melindungi jantung dan hati agar ia selalu selamat dan terbuku rapi.

Tahukah kita, bahawa satu kelebihan yang Allah anugerahkan pada wanita yang tidak ada pada lelaki ialah mereka mudah mengalirkan air mata. Air mata mereka bukanlah untuk menyatakan bahawa mereka adalah golongan yang lemah.. Sebaliknya air mata itu adalah titisan-titisan air yang memberi kekuatan kepada mereka untuk meneruskan sisa-sisa usia sebuah kehidupan. Dengannya, ia meluahkan segala rasa yang terpendam di dadanya. Bebanan kehidupan dan permasalahan yang dihadapinya. Andai suatu hari nanti dunia bergoncang.. Ketahuilah bahawa ia adalah hasil dari tangan seorang wanita yang memperoleh kekuatan kesan dari titisan air mata.

Doa seorang wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w akan hal tersebut, Baginda menjawab dengan sabdanya :-

“ Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia ” (al-Hadith)

Oleh kerana itu, wahai kaum Adam, janganlah kau siakan mereka yang bernama wanita. Ingatlah, dirimu juga dilahirkan dari rahim ibumu yang juga seorang wanita. Jika kau melukai hati wanita, samalah halnya kau melukai hati ibumu.

No comments:

Post a Comment

 
Dear Diary Blogger Template